New Zealand ikut AS Serbu Megaupload
WELLINGTON: Polis New Zealand menyerbu beberapa rumah dan perniagaan
dikaitkan dengan pengasas Megaupload.com, sebuah laman perkongsian fail
internet yang ditutup pihak berkuasa Amerika Syarikat kelmarin dan
merampas senapang, jutaan dollar dan hampir AS$5 juta (RM15.53 juta)
dalam bentuk kereta mewah.
Polis menahan pengasasnya, Kim Dotcom dan tiga kakitangan
Megaupload atas tuduhan bahawa mereka menyediakan jutaan kemudahan muat
turun filem, muzik dan kandungan lain menyebabkan pemegang hak cipta
kerugian pendapatan sekurang-kurangnya AS$500 juta (RM1.55 bilion).
Prosiding ekstradisi ke atas mereka mungkin berlangsung setahun atau
lebih.
Dengan 150 juta pengguna berdaftar, kira-kira 50 juta ‘hits’ setiap
hari dan penajaan dari bintang muzik terkenal, Megaupload.com adalah
antara laman perkongsian fail terbesar dunia. Menurut satu pendakwaan
Amerika, laman itu, yang ditutup Khamis lalu, memberi Dotcom pulangan
AS$42 juta (RM130.41 juta) pada 2010 saja.
Walaupun syarikat itu berpusat di Hong Kong dan Dotcom tinggal di New
Zealand, sesetengah kandungan didakwa cetak rompak di hos pada pelayan
disewa di Virginia dan ia mencukupi buat pendakwa raya Amerika untuk
bertindak.
Polis New Zealand menyerahkan 10 waran menggeledah ke atas beberapa perniagaan dan rumah di sekitar bandar di Auckland.
Jurucakap polis Grant Ogilvie berkata kereta yang dirampas
termasuk sebuah Rolls Royce Phantom Drophead Coupe bernilai lebih
AS$400,000 (RM1.24 bilion) selain beberapa Mercedes. Dua senapang dan
sejumlah hasil seni bernilai turut dirampas, beliau menambah.
Katanya, polis merampas lebih AS$8 juta (RM24.84 juta) wang yang
dilabur dalam pelbagai institusi kewangan New Zealand dan kini
diletakkan dalam satu tabung amanah sementara menunggu hasil kes.
Media Fairfax New Zealand melaporkan empat defendan hadir bersama
dalam bilik mahkamah di Auckland dalam langkah pertama prosiding
ekstradisi.
Peguam Dotcom menyuarakan bantahan terhadap permintaan media
mengambil gambar dan video, namun Dotcom kemudian bercakap dari kandang
mengatakan dia tidak kisah diambil gambar atau video ‘kerana tiada apa
untuk disembunyikan.’
Hakim memberi capaian kepada media dan memutuskan empat lelaki terbabit direman sehingga perbicaraan kedua Isnin.
Dotcom, bekas ketua eksekutif Megaupload dan ketua pegawai
inovasi terkini, adalah penduduk Hong Kong dan New Zealand dan mempunyai
dua kewarganegaraan Finland dan Jerman yang mempunyai nama yang diubah
dari segi undang-undang.
Tertuduh berusia 37 tahun itu sebelum itu dikenali sebagai Kim Schmitz dan Kim Tim Jim Vestor.
Dua lagi warga Jerman dan seorang warga Belanda turut ditahan dan
tiga lagi defendan, seorang warga Jerman, Slovakia dan Estonia, masih
bebas.
Megaupload mengekalkan peguam Washington Bob Bennett untuk membela mereka, menurut seorang individu syarikat.
No Comment to " New Zealand ikut AS Serbu Megaupload "
Anda Suka? Apa Pendapat Anda?